Penantian Suatu Penyeksaan

Memang benar, penantian itu suatu penyeksaan. Batin yang terseksa boleh terbawa-bawa kepada zahir. Tidur tak cukup, makan tak cukup, semuanya seolah-olah tidak mencukupi.

Ya Allah, apa lagi yang boleh kuikhtiarkan? Semoga Engkau sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepadaku dan dia. Kerja dan tanggungjawab harian harus kulaksanakan, maka Kau ringankanlah ujianMu ke atas hambaMu yang lemah lagi hina ini. Permudahkanlah urusanku di dunia yang fana ini...

Sesungguhnya 2 bulan yang lalu merupakan saat-saat yang paling sukar bagi diriku. Lebih sukar lagi kalau nak dibandingkan dengan saat aku pulang menjejakkan kaki ke tanah air setahun yang lalu. Walaupun hatiku kini bertambah tenang, hakikatnya ada juga malam-malam yang tidak menjadi waktu tidur bagiku. Fikiran ini terlalu rancak berfikir, hati pula menjadi resah tidak menentu. Hanya Allah tempatku mengadu dan meluahkan kebimbangan hati. Lepas Subuh, selalunya hati sudah tenang sedikit untuk aku mulakan kerja hari itu. Kucingku juga menjadi tempatku mengadu, tapi apalah dayamu kan Cici? Apalah dayaku...

Penantian sememangnya suatu penyeksaan. Apatah lagi menanti sesuatu yang tidak pasti. Apalah dayaku untuk mengetahui rahsia dan hikmah di sebalik apa yang berlaku ini. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. KepadaNya lah tempatku mengadu siang & malam. Tak banyak yang aku boleh minta daripadaNya sebagai hambaNya yang hina, cukuplah sekadar Dia kurniakan kepadaku ketenangan yang abadi. Dan agar dia ikhlaskan hatiku dalam melakukan ibadah terhadapNya dan dalam mengambil apa-apa tindakan pun. Semoga Dia lindungi aku daripada hasutan mainan cinta Syaitan ar-rajim. Semoga iman dan amalku terus terpelihara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan batinku yang lemah ini.

Aku lalai dan leka. Rugi sekali kerana aku tidak gunakan peluang sewaktu berjauhan dahulu. Ya lah, orang kata bila duduk berjauhan hati kita semakin hampir dengan orang-orang yang tersayang. Bila hati sudah hampir, kita tidak lagi bercakap melalui mulut dan baris kata. Kita bercakap dari hati ke hati. Bagiku, keadaan berjauhan dahulu lebih selesa. Kini, jasad kami sudah dekat, tetapi hatinya... hanya Allah yang tahu. Memang keadaan ini jauh lebih menyeksakan apatah lagi bila ditambah dengan penantian yang tidak pasti.

Aku bersangka baik. Kalau orang tidak layan, aku anggap orang itu busy atau ada masalah lain. Sebagai kawan, tak salah kalau kita tegur-menegur. Tak salah kalau kita ambil berat. Cuma jangan dibuat selalu sampaikan timbul rasa tidak selesa. Menahan resah hati untuk mengambil tindakan ini pun cukup menyeksakan. Sehari terasa bagai seminggu, seminggu terasa bagai sebulan, dan sebulan...

Cermin sudah kulihat, tangan pun sudah kuhulurkan. Aku bertawakkal dan berdoa semoga Allah memberi petunjuk & hidayah agar aku mendapat ilham dan terus berusaha dalam keadaan sabar dan hati yang ikhlas. InsyaAllah.

Posted by Ahmad Fadzli on November 13, 2007 at 1:24:00 AM | Permalink